Skip to main content

Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menyambut baik pembentangan
Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) oleh YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Ismail Sabri
Yaakob.

Ketika ini, MOSTI berada pada landasan yang tepat dalam menjadikan Malaysia sebagai
negara berpendapatan dan berteknologi tinggi. Hasrat besar ini disokong oleh Dasar Sains,
Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021-2030 serta Rangka Kerja 10-10 Sains, Teknologi
dan Inovasi Malaysia (MySTIE) yang telah dilancarkan pada 8 Disember 2020.

Peranan sains, teknologi dan inovasi (STI) akan memacu pertumbuhan dan pemulihan
ekonomi Malaysia bagi mencapai matlamat menjadikan Malaysia sebuah negara berteknologi
tinggi. Gabungan kedua-dua DSTIN dan MySTIE ini akan memastikan kemajuan sains dan
teknologi bergerak seiring dengan pertumbuhan ekonomi negara.

Sebagaimana yang dibentangkan oleh YAB Perdana Menteri, RMK-12 adalah bertunjangkan
tiga (3) tema seperti berikut:

              1. Menjana semula ekonomi;
              2. Memperkukuh keselamatan, kesejahteraan dan inklusiviti; dan
              3. Melonjakkan kemampanan.

Sementara itu, empat (4) pemangkin dasar akan menyokong pencapaian tiga tema berkenaan
dan menjadi asas bagi membentuk pembangunan Malaysia sepanjang lima tahun akan
datang dan tahun-tahun seterusnya. Empat pemangkin dasar yang dimaksudkan adalah
seperti berikut:

              1. Membangunkan bakat masa hadapan;
              2. Mempercepat penerimagunaan teknologi dan inovasi;
              3. Menambahbaik ketersambungan dan infrastruktur pengangkutan; dan
              4. Memperkukuh perkhidmatan awam.

Bagi MOSTI, strategi-strategi di bawah pemangkin dasar pertama dan kedua iaitu
membangunkan bakat masa hadapan serta mempercepat penerimagunaan teknologi
dan inovasi amat bertepatan dengan usaha pemulihan negara khususnya menjana
semula ekonomi pasca pandemik COVID-19.

Strategi-strategi yang telah dirancang akan merancakkan usaha pembangunan, penyelidikan
dan pengkomersialan serta membangunkan bakat-bakat tempatan yang inovatif bagi
menyokong pembangunan teknologi tempatan selaras dengan DSTIN 2021–2030. Strategi
ini juga akan membantu Malaysia menjadi lebih berdaya saing untuk mendepani cabaran
global, seterusnya menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi dan berteknologi tinggi
dengan guna tenaga mahir ke arah mencapai pertumbuhan inklusif.

STIE sebagai pemacu perubahan mampu menyokong pertumbuhan ekonomi negara dengan
menjajarkan penyelidikan dan pembangunan untuk pengkomersialan, penjanaan kekayaan
serta pertumbuhan ekonomi. Dalam hal ini, RMK-12 telah menetapkan enam (6) sasaran
terpilih berkaitan MOSTI untuk dicapai pada tahun 2025 seperti berikut:

              1. 2.5% Perbelanjaan Kasar R&D (GERD) kepada KDNK;
              2. 70% Perbelanjaan R&D oleh Sektor Swasta (BERD) kepada GERD;
              3. 130 Bilangan Penyelidik bagi setiap 10,000 Tenaga Buruh;
              4. 50% Perbelanjaan Penyelidikan Pembangunan Eksperimental kepada GERD;
              5. 20 Teratas bagi Kedudukan dalam Global Innovation Index; dan
              6. 500 Bilangan Produk/ Penyelesaian yang dikomersialkan melalui Sandbox Inovasi dan
                Teknologi Nasional (NTIS) dan Tahun Pengkomersialan Malaysia (MCY).

 

Mengambil kira situasi dan kesan pandemik COVID-19 terutamanya kepada syarikat-syarikat
pemula (startups), MOSTI juga mengalu-alukan usaha untuk memberi sokongan kepada lebih
ramai bakat tempatan yang mampu mencipta teknologi bagi menyokong pertumbuhan industri
tempatan melalui penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan inovasi (R&D&C&I).
Inisiatif ini akan mengurangkan kebergantungan negara terhadap teknologi asing di samping
meningkatkan sumber pendapatan negara. Sehubungan itu, keupayaan teknologi teras
(DeepTech) seperti kecerdasan buatan (Artificial Inteligence), Internet of Things (IOT),
blockchain, bahan dan teknologi termaju (Advanced Material) dan analitis data raya (Big Data
Analytic) diberikan penekanan yang merangkumi pembangunan ekosistem berkaitan
termasuk pembangunan bakat, pembiayaan dan galakan pelaburan domestik oleh kerajaan
dan pemain industri.

Pemerkasaan teknologi teras akan berfungsi sebagai medium disruptif yang menggalakkan
inovasi bidang baharu, menjadi pembolehdaya pertumbuhan ekonomi yang akan
memudahcara dan menyokong perancangan serta dasar kerajaan dalam menghadapi
revolusi perindustrian keempat (4IR), seterusnya menjadikan Malaysia sebuah negara
berteknologi tinggi.

MOSTI komited untuk melaksanakan dan menjayakan inisiatif-inisiatif RMK-12 yang telah
dibentangkan selaras dengan fungsi MOSTI selaku peneraju bidang sains, teknologi, inovasi
dan ekonomi (STIE) di negara ini.

#KeluargaMalaysia
#BekerjaBersamaRakyat
#MOSTIhebat
DATO’ SRI DR. ADHAM BABA
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi
28 September 2021

Skip to content