Pengenalan
Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Kementerian Sains dan Teknologi Republik Rakyat China (MOST) dan telah bersetuju untuk bersama-sama membiayai Program Penyelidikan Bersama Malaysia-China 2025 (SRF-RFP Malaysia-China), dengan tujuan untuk mewujudkan kerjasama yang kukuh melalui sokongan kolaborasi antara pasukan berdasarkan bidang kerjasama yang telah dipersetujui, serta untuk memajukan lagi kerjasama Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) yang sedia ada antara kedua-dua negara.
Dana Penyelidikan Strategik (SRF) adalah skim pembiayaan berbentuk geran bagi membiayai penyelidikan strategik dan inisiatif top-down berimpak tinggi kepada negara berdasarkan bidang keutamaan semasa yang telah dikenal pasti.
Dana Penyelidikan Strategik – Request for Proposal (SRF-RFP Malaysia-China) ini bertujuan untuk menyediakan dana bagi membiayai projek-projek yang menyokong pelaksanaan dasar, pelan hala tuju, pelan tindakan atau insiatif kerajaan melalui RFP yang dibangunkan.
Penyelesaian bagi penyataan masalah khusus dalam bentuk teknologi, produk atau proses baharu yang berinovatif dijangka akan menghasilkan impak yang besar kepada sosioekonomi negara selari dengan Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN).
Kerjasama ini melibatkan kolaborasi penyelidikan bersama agensi/syarikat di China. Ketua Projek bagi Malaysia dan China bertanggungjawab untuk mengemukakan permohonan melalui agensi di negara masing-masing.
Kertas cadangan projek daripada Malaysia hendaklah dikemukakan kepada MOSTI manakala kertas cadangan projek daripada China hendaklah dikemukakan kepada MOST untuk proses penilaian secara berasingan.
Permohonan dibuka bermula 7 NOVEMBER 2024 sehingga 20 JANUARI 2025