Apa itu ESG?

ESG merupakan singkatan bagi environment (alam sekitar), social (sosial), dan governance (tadbir urus). ESG boleh dirujuk sebagai rangka kerja yang berpotensi membantu pemohon melaksanakan projek R&D dan dalam masa yang sama memberi keutamaan terhadap penjagaan alam sekitar, sosial dan tadbir urus.

Hasrat Kerajaan

 

Kerajaan komited untuk menerap dan melaksanakan prinsip ESG di dalam tadbir urus bagi memastikan masa depan yang mampan untuk generasi akan datang. Pelbagai dasar dan garis panduan telah digubal bertujuan mengurangkan pelepasan karbon, menggalakkan kesaksamaan sosial, mewujudkan peluang pertumbuhan baharu dalam ekonomi hijau dan memastikan tadbir urus yang telus.
Antara komitmen Kerajaan adalah termaktub di bawah Perjanjian Paris, di mana Malaysia komited untuk mencapai pelepasan gas rumah hijau (GHG) sifar seawal tahun 2050 (Net-zero GHG emissions by 2050).

Permohonan dana R&D MOSTI berkaitan ESG

Pengenalan ESG di dalam permohonan dan kriteria penilaian dana R&D MOSTI adalah selaras dengan petunjuk prestasi utama (KPI) yang telah ditetapkan di dalam Pelan Strategik MOSTI 2024-2030 bagi memajukan penyelidikan asas dan gunaan, memperkasakan penyelidikan pembangunan eksperimental dan memantapkan teknologi masa hadapan.

Bagi memastikan penawaran dana R&D MOSTI kekal berdaya saing, Bahagian Dana telah merangka Kriteria Penilaian ESG khusus untuk panduan dan rujukan berkaitan permohonan projek berkaitan ESG.